Bagaimanapun, taraf pendidikan termasuk faktor umurnya bukan penghalang untuk beliau menjalankan amanah yang diberi.

Menurut Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kulai itu, walaupun kini berusia 69 tahun, beliau akan melakukan yang terbaik dalam tiga portfolio yang dipegangnya. 

"Saya tak tipu, saya tidak memiliki sijil, tidak memiliki diploma, saya belajar sehingga Darjah 6 sahaja, namun saya memiliki pengalaman dalam bidang politik. 

"Saya pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili selama sepenggal pada tahun 1986, selain menjadi Pegawai Khas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tiga hari ini akan meneliti gerak kerja setiap jabatan di bawah portfolionya sebelum membuat sebarang perancangan. 

"Antara ideanya adalah untuk mengadakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat dimana ia bertujuan memudahkan rakyat berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan," katanya. 

Tambah beliau, pemilihannya sebagai Exco juga dianggap sebagai hadiah hari jadi paling bermakna dalam hidupnya kerana baru menyambut hari lahir pada 8 April lalu. - UTUSAN ONLINE