Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu berkata, kesemua pemimpin terbabit telah meninggalkan UMNO dan terserah kepada mana-mana parti untuk menerima mereka.

“Itu hak masing-masing, mereka sudah lama keluar UMNO, terpulang kepada yang sudi nak terima mereka. Tiada impak kepada kita kerana mereka bukan lagi Ahli Parlimen UMNO.

“Kalau Bersatu nak terima mereka, Alhamdulillah, I wish them best of luck,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Enam bekas Ahli Parlimen UMNO hari ini menyerahkan borang permohonan untuk memasuki Bersatu kepada Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menerima kad keahlian Bersatu dalam majlis tersebut.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO telah menghantar surat saman kepada sebahagian daripada enam bekas Ahli Parlimen itu kerana bertindak meninggalkan parti tersebut baru-baru ini.

“Ada yang kita sudah hantar sesetengah daripada mereka. Yang lain kita sedang meneliti sama ada hendak buat atau tidak, terpulang kepada keadaan dan situasi serta perkara-perkara yang kita pertimbangkan,” katanya.

UMNO sebelum ini menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ini termasuk menuntut balik bayaran yang melibatkan kos dan pemimpin terbabit perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. - UTUSAN ONLINE