JOSEPH KURUP

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, di ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semua parti politik perlu berkempen secara sihat tanpa mempergunakan isu perkauman.

Perbuatan tersebut, katanya, ha­nya akan mencetuskan ke­te­gangan kaum dan menjejaskan hubungan baik masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini.

“Selaku menteri bertanggungjawab dengan perpaduan saya minta semua parti politik elakkan sentuh isu agama dan kaum kerana ia amat sensitif sekali.

“Kedua-duanya berkait rapat dalam membina perpaduan negara, untuk membinanya kita ambil masa bertahun-tahun tapi bila kamu bangkitkan isu perpa­duan sekelip mata perpaduan kita boleh rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta Program Kembara Perpa­duan Media 2018 di sini hari ini.

Menurut Kurup, pemimpin po­litik perlu menyatu padukan rak­yat berbilang bangsa dan bukan­nya mengamalkan politik perkauman kerana ia tidak membawa manfaat kepada negara.

“Perjuangan kita ialah menya­tupadukan rakyat bukan memecahbelahkan mereka, isu per­kauman hanya menimbulkan ke­bencian antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Kurup berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta ruang kepada pengama­l-pengamal media untuk mendapatkan informasi secara terus mengenai kepentingan bersatu padu.

Jelas beliau, media berpera­nan sebagai penghubung yang mendekatkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan masyarakat menerusi kupasan berita yang diterbitkan.

“Rakan-rakan media disaran menerbitkan berita yang dapat menggambarkan perpaduan dalam kalangan masyarakat walaupun di sebaliknya terdapat perkara yang tidak enak untuk didengar.

“Yang penting laporan-laporan media sedikit sebanyak dapat mempengaruhi tahap keamanan di negara ini, tambahan pula media banyak melaporkan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam mewujudkan perpaduan di negara ini,” katanya.