Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Masliha Harun berkata, jika tersalah pilih, akhirnya pengundi juga yang rugi apabila mempunyai wakil rakyat yang tidak cergas dan terbatas dari segi pergerakan.

Katanya, sebab itu, pengundi terutama di luar bandar perlu menghargai hak pada 9 Mei nanti dengan memilih calon yang diyakini sihat supaya kebajikan dan keperluan mereka dapat dibela oleh wakil rakyat.

“Bukan hendak meragui tetapi sudah tentu calon berusia yang mempunyai sejarah masalah jantung perlu bergantung sepenuhnya dengan bantuan ubat-ubatan sepanjang hayat kerana fizikalnya tidak lagi cergas seperti pesakit jantung yang muda.

“Selain itu, sepanjang proses pemulihan penyakit jantung, pesakit perlu bijak mengawal emosi dan mental kerana rutin harian yang sibuk serta tertekan boleh memudaratkan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai proses pemilihan calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang rancak dilakukan kesemua parti terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setakat ini, beberapa parti termasuk Pas dan gabungan pembangkang PKR sudah mengumumkan sebahagian nama calon mereka.

Ini termasuk kerusi bagi bakal calon Perdana Menteri sementara gabungan itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diumumkan bertanding di Parlimen Langkawi, kelmarin.

Walau bagaimanapun, dalam ceramah gabungan pembangkang PKR di Teluk Intan, Perak semalam, penganjur mengumumkan Dr. Mahathir yang juga calon Perdana Menteri sementara gabungan tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kecergasan beliau terutama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Parlimen Langkawi yang diketahui terletak di kawasan luar bandar.-UTUSAN ONLINE