Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yakin sekiranya ini dapat dilakukan, rancangan untuk menawan semula Putrajaya akan menjadi kenyataan.

“Kita yakin kerjasama Pas dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) ini boleh menguasai Putrajaya iaitu 127 hingga 140 kerusi Parlimen (dalam PRU-15 nanti).

“Melihat kepada situasi sekarang ini, peluang calon Pas dan BN menang adalah cerah,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani di Hotel Jerai Jalan Kolam Air Sungai Petani di sini, hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Petani, Ahmad Fadzli Hashim, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Anuar Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib.

Menurut Ismail Sabri, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ada hikmahnya yang tersendiri iaitu telah menyebabkan dua parti orang Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas, saling bekerjasama.

“Dahulu mungkin orang menyampah dengan BN dan memberi pelbagai alasan (tidak menyokong), tetapi sekarang keadaan politik sudah berubah setelah Pas dan UMNO sudah berbaik-baik antara satu sama lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, harapan BN untuk mendapat 127 kerusi dalam PRU-15 nanti adalah lebih mudah jika hubungan baik antara ahli UMNO di negara ini sentiasa sekata. - UTUSAN ONLINE