Usul yang dibawa oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah itu mendapat undi majoriti iaitu 68 menyokong, manakala tujuh menolak semasa dibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sebentar tadi.

Menurut Abdul Karim, usul memohon keizinan daripada Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dibuat kerana isu terbabit membabitkan kepentingan besar.

“Untuk makluman semua, niat memfailkan usul rayuan ini bukannya ada niat peribadi untuk menentang ADUN Pujut dan mempunyai kepentingan politik terhadap Yang Berhormat (Tiong Choon).

“Ini (usul) adalah berkaitan dengan kuasa dan obligasi ADUN untuk melindungi dewan yang mulia ini,” ujarnya dalam ucapan ketika membentangkan usul itu.

Usul dibentangkan itu mendapat bantahan para ADUN DAP termasuk ADUN Padungan, Wong King Wei yang bangkit dan bertikam lidah kira-kira 20 minit dengan Abdul Karim sehingga memaksa Timbalan Speaker DUN, Datuk Gerawat Gala mengarahkannya duduk diam atau keluar dewan jika berterusan menggangu sesi persidangan.

Pada 13 Julai lalu, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh dan DUN Sarawak sekali lagi gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan untuk mengekalkan status Tiong Choon sebagai ADUN Pujut pada 17 Jun tahun lalu.

Perkara itu ditentukan selepas rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan status Tiong Choon, ditolak tanpa kos oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Beliau yang bersidang bersama Harmindar Singh Dhaliwal menolak rayuan itu manakala Datuk Mary Lim Thiam Suan membenarkannya.

Abang Iskandar dan Harmindar berpandangan, perayu tidak mempunyai bidang kuasa untuk melucutkan status Tiong Choon sebagai wakil rakyat berikutan memiliki warganegara Australia yang telah pun dilepaskan sebelum dipilih menjadi ADUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016. - UTUSAN ONLINE