Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mempengerusikan mesyuarat bagi meminda menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 termasuk dengan dua syarat tersebut, Rabu ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pindaan tersebut bagi memastikan nasib dan suara anak muda sentiasa dimartabatkan.

“Apabila saya mengusulkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi hak mengundi kepada 18 tahun, blok pembangkang bersetuju dengan dua syarat iaitu membuat pendaftaran secara automatik dan menurunkan umur calon wakil rakyat kepada 18 tahun.

“Saya telah membawa keresahan atau pandangan mereka ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lepas dan dipersetujui secara konsensus oleh Jemaah Menteri.

“Pada hari ini juga saya membawa pandangan itu ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan diputuskan untuk bersama dalam proses ini,” katanya dalam video berdurasi satu minit sembilan saat yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pimpinan politik kerana mengambil bahagian dalam usaha memartabatkan kedudukan golongan belia.

“Terima kasih, kerja keras ini untuk generasi muda di seluruh Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali pertama manakala bacaan kali kedua dijangka pada persidangan Parlimen berakhir 18 Julai ini.

Usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan itu bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ia sebahagian janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui sebulat suara oleh Kabinet pada September tahun lalu. - UTUSAN ONLINE