Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar mengesahkan perkara tersebut ketika bakal Presiden PKR itu menghubunginya kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Katanya, kerusi Parlimen di utara tanah air sudah terkeluar daripada menjadi pilihan Anwar Ibrahim untuk beliau kembali ke Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

“Memang sebelum ini ada tiga, tetapi apabila Anwar menghubungi saya pagi ini, pilihannya sudah dikurangkan menjadi dua dengan beliau sudah memaklumkan kerja-kerja yang perlu dilakukan di kawasan tersebut.

“Hari ini beliau akan ke Hong Kong dan kembali ke tanah air pada Rabu depan. Mungkin dalam sehari dua ini Anwar akan mendapat ‘ilham’ dan keputusannya akan diumumkan selepas beliau pulang nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke MBM Distributors Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Hadir sama dua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), R. Summugam serta Zamri Yusuf.

Anwar ketika menyampaikan Amanat Reformasi Sempena Ulang Tahun Ke-20 di Dewan Perdana, Tampin , Negeri Sembilan semalam menyatakan, beliau sedang mempertimbangkan tiga kerusi dari selatan, tengah dan utara yang sedia memberi laluan kepadanya.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, kedua-dua kawasan Parlimen yang sedang dipertimbangkan merupakan kawasan yang amat selamat buat Anwar.

“Sangat selamat kerana kami telah ambil kira semua perkara termasuk keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, peratusan keluar mengundi, isu semasa serta isu dimainkan pembangkang.

“Selama pembangkang belum keluar dari tajuk politik perkauman, agama, kaum serta bangkitkan suasana cemas dalam kalangan rakyat terhadap tercabarnya institusi agama dan raja, kami okey,” katanya. - UTUSAN ONLINE