Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah mengemukakan cadangan itu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jumaat lalu.

Dalam pertemuan itu, pihak Pas diketuai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau memberitahu, apa yang berlaku di negeri lain yang berada di bawah naungan kerajaan PH, jawatan pengerusi MTEN digalas oleh menteri besar masing-masing.

"Walaupun MTN urus projek di bawah kerajaan Pusat dan negeri, sebagai tuan rumah harus jadi fasilitator laksanakan projek melibatkan negeri.

"Jadi, saya syorkan agar PM terima cadangan baharu kami ini untuk lantik (beliau) sebagai pengerusi bersama menteri besar dan menteri (Kabinet)," katanya selepas menyerahkan Geran Hak Milik Tanah di Dewan Sri Amar, di sini hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, adalah penting jawatan serta tugas pengerusi MTEN disandang oleh menterI besar bagi memudahkan penyelarasan projek pembangunan untuk negeri serta rakyat.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Dr. Mahathir sedia mempertimbangkan cadangan itu dan perkara itu akan dibincangkan sebelum diputuskan Kabinet.

"Kita tunggu, perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet seterusnya," jelasnya.

Pengerusi MTEN Terengganu kini disandang oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Azmin Ali sebagai Pengerusi MTEN Kelantan sedangkan kedua-dua negeri itu bukan dikuasai kerajaan PH. - UTUSAN ONLINE