Malah, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Dr. Mahathir juga sebenarnya tidak yakin akan menerima sokongan penuh daripada jentera berikutan beliau mempunyai rekod tidak baik dengan pemimpin parti dalam gabungan itu.

“Parti pembangkang yang berada dalam pakatan bersama beliau (Dr. Mahathir) masih mempunyai syak wasangka contohnya pemimpin PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melihat Tun Mahathir sebagai orang memenjarakan suaminya yang kini duduk semeja bercakap pasal parti.

“Begitu juga dengan Mohamad Sabu, dalam jiwa raganya inilah orang yang penjarakan aku dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) manakala dia (Tun Mahathir) dengan Lim Kit Siang pula bergaduh lebih 50 tahun, masing-masing ada syak wasangka,”Katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Idul Ilmi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Maktab Mahmud Padang Terap, Jalan Padang Sanai di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas keputusan Dr. Mahathir yang memilih Langkawi sebagai kawasan untuk kembali bertanding pada PRU-14, selepas 30 tahun menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Mahdzir berkata, keputusan Tun Mahathir bertanding di Langkawi turut membuktikan bahawa kerusi Kubang Pasu bukanlah kawasan selamat baginya walaupun  menjadi penyandang kerusi Parlimen itu.

"Kubang Pasu atau Langkawi terpulang kepada Dr. Mahathir untuk bertanding di mana sekalipun tetapi di sini kita dapat lihat beliau tidak yakin untuk balik semua ke Kubang Pasu oleh itu beliau pilih Langkawi,” jelasnya.