Abdul Hadi berkata, sepatutnya Dr. Mahathir pada usia melebihi 90 tahun dan dengan ilmu yang ada dalam bidang kedoktoran, bekas Pengerusi PPBM itu sewajarnya mencurahkan kebajikan kepada rakyat di Klinik 1Malaysia.

“Patutnya dia doktor, kerja di Klinik 1Malaysia, percuma kerja di situ buat kebajikan itu patutnya. Ni suruh bertanding pilihan raya, kasihan dia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Titi Kuala Juru di Juru, Pulau Pinang yang disiarkan secara langsung melalui Facebook beliau hari ini.

Dr. Mahathir menjadi calon paling tua untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Langkawi.

Pengumuman pencalonan ahli politik berusia 93 tahun itu dilakukan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam ceramah gabungan pembangkang PKR di Bulatan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Langkawi semalam. -UTUSAN ONLINE