Mohd. Amar Nik Abdullah
Mohd. Amar Nik Abdullah 

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pimpinan parti itu tidak pernah melabelkan UMNO sebagai kafir sebagaimana dakwaan yang dibuat oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, pemimpin Pas hanya menjelaskan batas-batas iman dan kufur berdasarkan tulisan ulama dalam kitab dan terpakai untuk semua orang Islam tetapi telah disalah tafsirkan dengan mengatakan parti itu mengkafirkan UMNO.

"Kita hanya menjelaskan batas-batas iman dan kufur berdasarkan tulisan ulama dalam kitab ianya terpakai kepada semua bukan UMNO sahaja, sebaliknya semua orang Islam termasuk Pas. Boleh dengar semula ucapan sebelum ini kerana kita menyebut dari segi akidah.

"Cuma apa yang menjadi isu apabila orang memusingkan isu mengatakan Pas mengkafirkan UMNO. Jadi tidak timbul isu Pas perlu meminta maaf atau menarik balik kenyataan berkenaan memandangkan Pas tidak pernah menggelarkan UMNO sebagai kafir,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Majlis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Pas menarik balik kenyataan yang melabelkan UMNO sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam UMNO-Pas Sabtu ini.

Dr. Mahathir dilaporkan berkata, amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih relevan, kecuali beliau membuat kenyataan rasmi memohon maaf terhadap UMNO.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar secara sinis bertanya apakah Dr. Mahathir telah memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelbagai tuduhan yang dilemparkan sebelum ini.

"Dr Mahathir minta maaf ke pada Anwar? Tapi mereka boleh duduk bersama juga dan bekerjasama pula dalam Pakatan Harapan sekarang. Jadi, apa masalahnya kalau Pas dan UMNO bersama," katanya. - UTUSAN ONLINE