Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Dr. Mahathir yang berterusan menyerang peribadi Najib hingga kini bercanggah dengan perjuangan untuk mengubah sistem pemerintahan negara sebagaimana yang dilaungkan bekas perdana menteri selama 20 tahun itu.

Tegasnya, Pas sebagai parti yang mendaulatkan Islam tidak akan tersungkur dengan cubaan mana-mana pihak yang cuba mengheretnya keluar daripada landasan benar dan keputusan menolak kerjasama itu susulan langkah Dr. Mahathir bergabung dengan parti cauvinis, DAP.

"Dia (Dr. Mahathir) semata-mata menyerang peribadi Datuk Seri Najib untuk turunkan daripada jadi perdana menteri, bukan nak ubah pemerintahan. 

"Masalah kita (Pas) bukan tentang orang tetapi hendak ubah pemerintahan negara kepada Islam yang lebih baik, oleh kerana dia nak menjatuhkan orang jadi kita tidak boleh bantu..

Apa lagi dia bergabung pula dengan parti DAP yang terang-terang menentang Islam, yang dalam itu pula ada puak-puak Islam liberal.. yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

"Orang Islam mengaku Islam tetapi kritik hukum Islam ini banyak yang tidak betul, ini yang bergabung dengan dia, lantik jadi pemimpin yang kita tak boleh terima," katanya dalam program Bicara Santai Ayoh Chik Bersama UAI di Taman Shahbandar di sini petang ini.

Program yang berlangsung lebih sejam itu turut menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

Sementara itu, Abdul Hadi memberitahu, Pas bukan mahu merebut kuasa malah tidak ada halangan untuk bersama mana-mana parti politik di negara ini dengan syarat mereka boleh menerima Islam, al-Quran dan Sunnah.

"Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik) pernah kata, kalau kerajaan ubah cara Islam sepenuhnya, kita boleh bubar Pas.

"Kita bukan nak berebut kuasa, ini pendekatan kita yang orang perlu faham," katanya. - UTUSAN ONLINE