Dengan ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya Dr. Mahathir bijak mentadbir negara, segala permasalahan dan krisis yang berlaku sejak era pemerintahannya hingga ke sekarang termasuk salah laku dan politik wang yang merosakkan UMNO sendiri tidak berlarutan.

“Krisis yang berlaku hari ini seperti salah laku, politik wang termasuk merosakkan UMNO sendiri dan urus tadbir negara dia buat pasal, macam mana kita nak ulang (kepincangan dan salah laku) balik.

“Kita diajar oleh nabi agar ja­ngan se­ngat dua kali pada sa­tu lubang. Ja­ngan kepala yang sama menyengat kita se­kali dan terus sekali lagi (di tempat yang sama),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Markas Pas Kampung Rawai dekat sini malam tadi.

Abdul Hadi me­ngulas kenya­taan Dr. Mahathir yang melabel penyandang kerusi Parlimen Marang itu sebagai ‘ustaz kampung’ dan perlu mendalami lagi ilmu agama selain tidak mempunyai pengetahuan dalam pentadbiran dan politik.

Hadi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagaimanapun menye­rahkan kepada rakyat untuk menilai kenya­taan bekas Perdana Menteri itu terhadap beliau.

Abdul Hadi menjelaskan, beliau memiliki sarjana dalam bidang politik Islam dan atas kela­yakan itu juga beliau diberi kepercayaan menjadi pemimpin termasuk dilantik se­bagai Menteri Besar Terengganu dan pemimpin nombor dua tertinggi Kesa­tuan Ulama Antarabangsa ketika ini.

“Jadi, tak betullah kalau dia (Dr. Mahathir) kata kita tak pandai tadbir. (Sedangkan) dia buat macam-macam terhadap Kelantan. Itu sangat tidak adil dan rakyat boleh menilai itu semua,” ujarnya.

Mengenai pendirian beliau tidak akan bertanding kerusi DUN Rhu Rendang pada PRU-14, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberi lebih tumpuan kepada kerja parti di peringkat Pusat selain memberi laluan kepada pemimpin pelapis.