Menurut DMJ, tindakan dilakukan mereka boleh dianggap sebagai satu amalan luar kebiasaan, tidak peka dengan sensitiviti dan sentimen umat Islam serta berbaur populis sehingga sanggup menggunakan agama demi kepentingan politik masing-masing, dikhuatiri boleh menjejaskan nama baik dan kesucian Islam.

“DMJ percaya di bawah slogan kerajaan Malaysia baharu, agama Islam sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’, ahli politik terutama daripada wakil rakyat kerajaan perlulah sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku dan perbuatan bagi memastikan keharmonian antara masyarakat, kaum dan agama di Malaysia terjamin.

“Di samping itu, kita juga perlu mengelakkan daripada memupuk sifat kebencian atau fitnah ‘membanjiri’ masyarakat kita hanya kerana perbuatan sesetengah ahli politik yang tidak bertanggungjawab dalam perbuatan mereka,” demikian menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara tindakan yang disifatkan DMJ tidak wajar berlaku seperti tindakan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong berucap di dalam Masjid Tenang Stesen di Labis serta tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menganjurkan majlis berbuka puasa dalam kuil agama Sikh di Gurdwara Sahib di sini.

Selain itu, kata DMJ, tindakan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit mengagih dan menyerah kit serta bantuan zakat kepada orang Islam di Pulau Pinang dan tindakan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham menganjurkan majlis buka puasa ala pesta di Selangor.

Justeru, DMJ mencadangkan supaya ahli politik di negara ini kembali kepada konsep kesederhanaan dan tidak berlebih-lebih dalam berpolitik, mereka perlu bersifat toleransi dan bertimbang rasa dalam setiap tindakan mereka.

“Sebarang tindakan dan perlakukan yang keterlaluan atas nama ‘keterbukaan’ dan ‘liberalisme’ dan sengaja untuk melakukan ‘eksprimen sosial’ tanpa melihat kepada batas-batas norma dan agama dikhuatiri akan menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara.

“Dan kita tidak boleh membuka ruang tersebut kerana ia boleh menjadi ‘barah’ yang boleh menganggu gugat keamanan dan keharmonian di negara kita,” menurut kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE