Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kereta jenis Mercedes Benz milik Rahmad Musa, 55, yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih itu disimbah cat minyak berwarna biru semasa diletakkan di bahu jalan.

Rahmad ketika itu bersama Zakaria mengadakan perbincangan bersama jentera pilihan raya BN di Bilik Gerakan BN, Kampung Rinching Hulu.

Ekoran kejadian tersebut, satu laporan polis dibuat oleh Rahmad di Balai Polis Semenyih, di sini tengah malam tadi.

Sementara itu, Zakaria menerusi akaun Facebook miliknya berkata, kejadian yang berlaku tidak sedikit pun melemahkan program kempennya di Semenyih.

“Saya tetap akan berkempen. Sedikit pun saya tidak terkesan dengan kejadian ini apatah lagi melemahkan saya.

“Ini hanya petanda yang menunjukkan anda tercabar dan terancam benarkah? Jika benar, sediakan lebih banyak cat kerana tindakan ini akan menyemarakkan lagi semangat jentera BN dan Pas yang akan membantu saya berkempen di sini,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui sedikit sedih dengan kejadian yang berlaku tersebut.

“Orang kita akhlaknya bukan begini, tidak sepatutnya begini,” katanya. - UTUSAN ONLINE