Pengerusi DHPP Pusat, S. Balasubramaniam berkata, beliau optimis akan dapat menarik semula golongan itu berdasarkan perkembangan semakin positif setelah sokongan mereka di dapati menurun ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Justeru itu, katanya, DHPP komited untuk menjadikan Kelantan dan Terengganu negeri contoh terbaik, malahan bersedia bekerjasama dengan kedua-dua kerajaan negeri berkenaan untuk mendekati masyarakat bukan Islam.

Beliau seterusnya menarik perhatian, Konvensyen DHPP turut menggariskan lapan agenda termasuk mendesak kerajaan Pusat meringankan beban rakyat selain mematuhi manifesto sebagaimana dijanji.

Balasubramaniam berkata, sebahagian rakyat sudah tertipu dengan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menawarkan pelbagai tarikan namun sehingga sekarang masih belum ditunai.

Beliau seterusnya menyebut tujuh lagi agenda perjuangan DHPP itu iaitu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela, meletakkan rakyat sebagai tumpuan utama selain pekerjaan, pelajaran dan sosio-ekonomi.

“Agenda lain ialah sentiasa menjaga perpaduan rakyat, menambah keahlian DHPP, berjuang bersama Pas, menyokong pindaan RUU 355 serta fokus kemenangan PRU-15,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen DHPP Kali Pertama / 2018 bertemakan `Memimpin Perpaduan’ sempena Muktamar Tahunan Pas 2018 di Dewan Auditorium di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini.

Perasmian disempurnakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan konvensyen itu dihadiri kira-kira 50 perwakilan DHPP dari seluruh negara.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr. Bala Chandran.

Balasubramaniam seterusnya menyifatkan Pas sebagai bapa kepada DHPP dan menjadi kewajipan untuk taat serta patuh kepada arahan Pas.

“DHPP mestilah berjuang seiringan dengan Pas kerana parti ini menyediakan kita platform untuk berjuang, maka kita jangan persiakan peluang ini,” ujarnya sambil menambah, DHPP akan berusaha menjadikan Kelantan dan Terengganu yang berada di bawah kerajaan Pas sebagai contoh terbaik. - UTUSAN ONLINE