Sambil menyambut baik penangkapan suspek berusia 68 tahun itu semalam, Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, pendedahan itu bagi membuktikan tindakan terhadap suspek bukan sekadar gimik bagi menutup gelombang kemarahan umat Islam berhubung isu tersebut.

Malah, tegas beliau, pendedahan kepada umum itu juga penting sebagai pengajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya menyentuh sentimen agama khususnya Islam yang merupakan agama Persekutuan.

“Kita menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan serta hukuman paling maksimum dikenakan ke atas suspek sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya mempersenda dan mempermainkan agama Islam.

“Kita juga ingin mengingatkan kepada semua pihak supaya menghormati agama dan budaya masyarakat majmuk di negara ini serta jangan cuba bermain api atau menyentuh hal dan agama Islam kerana buruk padahnya nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 68 tahun bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi laman media sosial Facebook.

Lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai itu ditahan di rumahnya di Mentakab, Pahang kira-kira pukul 11.30 pagi selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap kebiadapannya itu.

Malah, tiga laporan turut dibuat di sini malam tadi berhubung isu itu masing-masing oleh Pemuda UMNO Nibong Tebal; Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Nibong Tebal dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Nibong Tebal.

Merujuk kepada laporan polis malam tadi, Norhiesam berkata, UMNO dan Pas di sini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain akan terus saling menyokong dan bersatu dalam perkara berkaitan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

“Kehadiran hampir 600 ahli UMNO, Pas dan wakil-wakil NGO ketika laporan polis dibuat malam tadi menunjukkan kesatuan umat Islam adalah amat kuat dan utuh demi agama dan kaum Melayu.

“UMNO dan Pas akan terus berganding bahu dalam mempertahankan isu-isu rakyat berkaitan Islam, Melayu dan negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE