Pengerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M), Mustaffa Kamil Ayub berkata, ini kerana, adalah amat penting untuk semua pihak mendalami khususnya hal yang sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan agar tidak timbul kekecohan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Demikian kenyataan dan pendirian seharusnya mengambil pertimbangan semua keadaan dan pengorbanan yang dibuat oleh semua bangsa yang ada di negara ini.

“Tanpa sikap dan kesediaan berbuat demikian negara akan terdedah kepada keadaan yang kacau-bilau serta menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yg telah dibina selama 60 tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang menyarankan agar menteri dan timbalan menteri kerajaan PH mahupun pemimpin politik perlu ‘disekolahkan’ kembali bagi memastikan mereka lebih memahami Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia dan bagaimana negara ini diwujudkan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata, terdapat menteri serta pemimpin politik dilihat gagal memahami Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum serta rakyatnya perlu menghormati dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE