Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, DEB yang sebelum ini diamalkan jelas menyusun ekonomi rakyat sekali gus menyatupadukan semua kaum.

“Sebagai contoh, kaum Melayu mendapat projek daripada kerajaan, kaum Cina membekalkan bahan mentah kepada kontraktor Melayu yang mendapat projek dan kaum India menjadi subkontraktor membekalkan tenaga kerja.

“Ini adalah satu contoh keseimbangan rantaian ekonomi melalui DEB yang bukan sahaja membantu sosioekonomi rakyat antara kaum malah menyatupadukan semua kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap dasar ekonomi melalui tindakan afirmatif perlu dilaksanakan berasaskan keperluan seluruh rakyat dan bukannya sesuatu kaum semata-mata.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Anwar berpendapat DEB yang diwujudkan berdasarkan kaum perlu dihapuskan kerana dianggap tidak mampan untuk jangka panjang.

Muhammad Faiz berkata, menghapuskan DEB dan mewujudkan dasar yang menyamaratakan antara semua kaum merupakan pandangan yang akan menyebabkan bumiputera terutama orang Melayu akan terus ketinggalan di belakang daripada sudut ekonomi.

“Persoalannya, adakah ekonomi bumiputera sudah mencapai penguasaan 30 peratus ekonomi dalam negara? Siapa yang menguasai ekonomi dalam negara ketika ini?

“Sekiranya diberi peluang sama rata, bermakna kaum tertentu sahaja yang mengusai ekonomi dan sudah tentu boleh mohon peluang-peluang ekonomi dalam kerajaan secara terus tanpa mengguna pakai lesen bumiputera yang menjadi amalan sebelum ini yang mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu,” katanya.

Jelasnya, jika itu berlaku sudah pasti ketidakadilan dalam ekonomi dan ketidakseimbangan dalam sosioekonomi masyarakat akan berlaku sekali gus merenggangkan perpaduan antara kaum yang akan boleh mencetus ketidaktenteraman dalam negara. - UTUSAN ONLINE