Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata, sebarang cubaan untuk memperkenalkan undang-undang yang membenarkan penukaran agama secara sepihak di Selangor adalah tidak mengikut perlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Gandhi telah memutuskan dengan jelas bahawa istilah ibu bapa yang terpakai dalam Perlembagaan Persekutuan bermaksud kedua-dua ibu bapa.

“Oleh itu, adalah menjadi hak individu bagi kedua-dua ibu bapa dalam menentukan agama anak mereka yang di bawah umur yang kini dijamin oleh perlembagaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sudah termaktub bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mengatasi sebarang peruntukan undang-undang lain yang tidak selari dengannya.

Gobind berkata, DAP Selangor juga ingin mengulangi sokongannya kepada Speaker Selangor, Ng Suee Lim dalam menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas.

Beliau berkata, Speaker itu tidak melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan yang terpakai terhadap tingkah laku beliau dalam mengendalikan persidangan dewan.

“Beliau (Speaker) telah menjelaskan bahawa beliau telah menangguhkan persidangan dewan mengikut Peraturan Tetap dan bahawa kesemua agenda telah diselesaikan. Oleh yang demikian, beliau boleh di bawah peraturan menangguhkan persidangan dewan, seperti yang telah beliau lakukan,” kata Gobind. - BERNAMA