Pengerusi Pemuda MCA, Nicole Wong berkata, lebih dua minggu sejak isu khat berlaku menteri dari DAP gagal menyuarakan kegusaran ramai pihak melalui kaedah yang betul.

Ujarnya, keadaan itu memberi gambaran kepada Kabinet bahawa ramai bersetuju dengan tindakan pengenalan khat dan hanya Dong Zong yang membantah.

"Sekiranya Timbalan Menteri Pendidikan dan menteri DAP bersepakat berbanding membantah tulisan khat, dengan membawa suara masyarakat ke meja rundingan perkara itu lebih efektif dalam mengenengahkan pendidikan Cina," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai satu pertubuhan yang rasis.

Tegasnya, sifat rasis tersebut jelas terbukti apabila persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Menurut beliau, sikap degil Dong Zong juga dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan khat di sekolah-sekolah vernekular meskipun keputusan tersebut telah diluluskan kerajaan terdahulu pada tahun 2012. - UTUSAN ONLINE