Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada seluruh anggotanya di lebih 300 cawangan di negeri ini supaya akur dan mematuhi arahan tuanku selaku Ketua Agama Islam negeri.

“Sebenarnya ini merupakan satu titah yang cukup bijaksana kerana masjid dan surau sememangnya untuk beribadat dan bukan untuk tujuan politik.

“Kami juga menyeru kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana jawatankuasa masjid yang melanggar titah tuanku dan tindakan tegas wajar diambil termasuk menggantung tugas mereka. Perkara ini bukan sahaja tidak sepatututnya berlaku pada bulan Ramadan tetapi sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran DAP Perak di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, khutbah Jumaat juga seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membawa keindahan Islam yang berasaskan kepada fitrah kasih sayang serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, walaupun DAP difitnah sebagai antiMelayu dan Islam, parti itu merupakan sebuah parti mesra Islam apabila mendakwa mereka telah memberikan sumbangan dianggarkan sebanyak RM1 juta kepada ratusan masjid dan surau di negara ini pada bulan Ramadan tahun ini melalui peruntukan 42 Ahli Parlimennya.

“Contoh yang terbaik ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang meluluskan peruntukan sebanyak RM130,000 kepada masjid dan surau untuk kegiatan kerohanian.

“Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong telah memberikan sebanyak RM125,000 manakala Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pula berikan peruntukan RM87,000 sementara Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching RM55,000 dan Nga Kor Ming juga bagi RM40,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE