Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Thomas Su Keong Siong berikutan itu turut mengakui bahawa para pemimpin parti itu terpaksa turun padang untuk menjelaskan perkara tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, parti tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Perkara ini tidak mudah, kita banyak pertimbangkan isu-isu sentimen ahli veteran sehingga kita perlu buat keputusan berbeza (tidak menggunakan logo roket).

“Bukan semua (ahli sokong), tak boleh dapat semualah. Kita perlu jelaskan perkara ini ke akar umbi,” katanya ketika ditemui semasa melancarkan Bilik Gerakan DAP yang dihadiri kurang 20 orang, di sini malam tadi.

Pada 6 April lalu, gabungan pembangkang PKR bersetuju untuk menggunakan logo dan simbol PKR untuk menghadapi PRU-14.

Dalam pada itu, meskipun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah menjelaskan bahawa pembubaran sementara PPBM adalah disebabkan kegagalan parti itu menyerahkan sepenuhnya dokumen seperti diperintahkan dalam tempoh masa diberikan, namun apa yang menghairankan apabila DAP terus menyalahkan Barisan Nasional (BN) pula.

Keong Siong percaya bahawa keputusan ROS itu mempunyai muslihat tertentu dan satu niat jahat BN.

“Kita semua tahu, ini niat jahat BN. Dahulu semasa kita hantar (pendaftaran) Pakatan Rakyat, ROS cari hal dengan DAP dan sekarang dengan PPBM pula,” katanya.

Pada 5 April lalu, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim mengesahkan pembubaran sementara PPBM menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 ekoran kegagalan PPBM menyerahkan sepenuhnya dokumen yang diperintahkan di dalam tempoh yang diberikan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE