Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tiada apa yang hendak disembunyikan oleh DAP kerana mendakwa partinya bersikap telus melibatkan akaun negeri dan Pusat selain tidak bergantung kepada sebarang dana asing.

"Pada saya, ini merupakan rekod atau CD (cakera padat) lama yang dimainkan oleh Pas. Dulu dia kata, DAP ini adalah cawangan PAP di Singapura tetapi hari ini, dia sibuk dengan dakwaan DAP menerima dana asing.

"Saya fikir ini merupakan satu percubaan untuk mengalihkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diterima oleh Pas selain satu laporan media memetik UMNO menyalurkan wang kepada Pas untuk pilihan raya sebanyak RM1.5 juta kalau tidak salah saya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 14 Februari lalu, Pemuda Pas Perak menuntut pihak berkuasa membuka semula kes serta menjalankan siasatan berkaitan beberapa aduan serta dakwaan DAP menerima dana asing. 

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd. Hafez Sabri berkata, isu berkenaan telah memakan masa lama, malahan tiada sebarang tindakan segera dan tuntas bagi menyiasat dana-dana diterima oleh parti itu selama ini.

Menurut Mohd. Hafez, ia merujuk kepada pendedahan dibuat oleh bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari pihak Israel.

Selain itu katanya, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd. Haniff pernah membuat laporan polis terhadap pengasas Malaysiakini, Premesh Chandran dan Red Bean Army DAP dengan dakwaan menerima dana disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

Katanya, dakwaan turut pernah dinyatakan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa DAP menerima dana segera dari negara-negara luar untuk membiayai pilihan raya.

Begitu juga dengan kenyataan Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining yang secara terbuka menyatakan bahawa pihaknya menyalurkan dana Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. - UTUSAN ONLINE