Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemimpin kebangsaan parti itu sudah menyampaikan pandangan mereka kepada pemimpin DAP Perak berhubung isu berkenaan.

"Pemimpin kebangsaan DAP sudah sampaikan pandangan kepada pemimpin Perak, saya pecaya satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi, jadi kita tunggu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Merdeka dan Komuniti Bagan sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu, di sini hari ini.

Kelmarin, Paul Yong yang juga exco kerajaan negeri Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya Julai lalu.

Ekoran pertuduhan itu, pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan beliau supaya bercuti daripada tugas rasmi sebagai exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Paul Yong enggan berhenti daripada tugasnya dan menegaskan tiada sebab untuk berbuat demikian kerana pertuduhan tersebut masih belum terbukti dan beliau juga bukanlah seorang penjenayah. - UTUSAN ONLINE