Perkara itu dinyatakan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berikutan kebanyakan kerusi dalam Pakatan Harapan dimiliki oleh DAP.

Justeru ujarnya, dengan meletakkan barisan tertinggi se­perti itu, Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP percaya mereka akan dapat meraih undi Melayu.

“Apa yang diumumkan mereka itu adalah dakyah politik kelentong untuk cucuk hidung rakyat Malaysia.

“Sebenarnya, semua keputusan dibuat oleh DAP. Suka atau tidak, rakyat Malaysia perlu fikir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sama ada mereka mahu kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) atau DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberitahu, masyarakat ingin melihat kestabilan politik sesebuah negara dan siapa yang diamanahkan meme­gang tampuk pemerintahan yang dijelaskan melalui kepimpinannya.

“Kalau di sini (Pakatan Harapan) tidak jelas siapa yang jadi pemimpin. Adakah pemimpin dia adalah Presiden, adakah Ke­tua Umum atau Pengerusi, tak kan nak letak tiga orang jadi Perdana Menteri?” ujarnya.