Beliau menyifatkan tindakan Guan Eng itu mahu menafikan sumbangan kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN) kepada penduduk di kawasan terbabit selama ini.

Menurutnya, hutang kerajaan Pahang ketika ini masih boleh diuruskan melalui sistem pembayaran dan pengurusan yang dipersetujui antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

"Janganlah cakap fasal hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat, kita tidak terlalu boros dan semua hutang itu digunakan untuk kepentingan rakyat.

"Sebelum ini Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menyindir kerajaan Pahang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kononnya negeri Pahang akan muflis dalam tempoh tiga bulan namun itu tidak berlaku sampai sekarang.

"Sebaliknya Belanjawan yang saya bentangkan pada November lalu mencatatkan lebihan RM24.38 juta dan bermakna pendapatan kerajaan Pahang lebih daripada mampu untuk menguruskan negeri ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Datuk Seri Najib Razak Bersama Peneroka Felda di Dewan Jubli Perak Sungai Koyan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE