Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, ini kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang dan sebarang pemberian atau tawaran tidak boleh dilakukan oleh mana-mana calon dalam tempoh berkempen.

“Semalam ketika Barisan Nasional (BN) mengadakan program ziarah kasih kami dapati terdapat sebuah hamper dan sampul surat rasmi daripada kerajaan di dalam rumah salah seorang pengundi di Sungai Jai.

“Terdapat risalah PH di hamper tersebut dan di atas surat rasmi tertulis tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, berhubung perkara tersebut, beliau bersama beberapa pemuda UMNO telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 10 malam semalam dan mahu siasatan dijalankan.

“Kita tidak menuduh sebaliknya mengesyaki pemberian itu bertujuan untuk mendapat undi daripada penghuni dan jika benar ini merupakan kesalahan rasuah di bawah seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954,” katanya. - UTUSAN ONLINE