LIM GUAN ENG

Menurutnya, pada 31 Disember 2017, sejumlah RM11.86 bilion di dalam akaun berkenaan telah merosot kepada RM450 juta pada 30 April berikutan perbelanjaan yang berlebihan untuk tempoh empat bulan dari Januari 2018 hingga April 2018.

“Jelas, ini adalah ‘perbelanjaan pilihan raya umum’ yang digunakan untuk cuba membantu BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng baru-baru ini mendakwa sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei lalu, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April adalah RM35.5 bilion dan daripada jumlah tersebut, cuma terdapat RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit.

Bagaimanapun pada 6 September lalu, Najib berkata, mengikut penyata akaun kerajaan dari Akauntan Negara Malaysia bagi akhir 2017 yang diterbit dan diumumkan secara awam, baki Akaun Hasil Disatukan bukan RM11.41 bilion sebaliknya berjumlah RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap jangka pendek.

Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak sepatutnya berpura-pura dalam isu kedudukan fiskal dengan menyatakan BN telah meninggalkan puluhan billion ringgit kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Katanya, perkara itu adalah tidak benar kerana sehingga 30 April lalu hanya RM450 juta yang ditinggalkan di dalam Akaun Hasil Disatukan.

“Bayangkan, hanya ada RM450 juta sahaja yang boleh dibelanjakan untuk membayar emolumen (gaji) dan pencen sedangkan untuk ini sahaja kerajaan memerlukan lebih RM8 bilion sebulan.

“Adakah Datuk Seri Najib masih lagi keliru untuk membezakan atau memahami apa sebenarnya kandungan Akaun Hasil Disatukan walaupun beliau memegang jawatan Menteri Kewangan selama 10 tahun?,” soal beliau.

Tambahnya, Najib juga tidak seharusnya mempersoalkan kredibiliti penyata kewangan bulanan itu kerana sewaktu penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit dikeluarkan, beliau belum lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan.

Namun jelasnya, Najib tanpa usul periksa terus mempersoalkan kesahihan penyata kewangan tersebut dan menuduhnya memanipulasi angka-angka berkenaan.