Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia juga menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa BN merupakan kerajaan yang zalim biar pun, tarikh tersebut ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Penetapan tarikh tersebut dibuat oleh SPR dan kebetulan jatuh pada hari Rabu. Justeru, keputusan kerajaan memberi cuti umum pada tarikh tersebut ialah supaya rakyat dapat turun mengundi.

"Jadi pembangkang jangan buat cerita bukan-bukan seperti kerajaan tidak mahu orang ramai keluar mengundi dan sebagainya. Ini semua bohong walhal kita jelas bagi peluang orang ramai keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Sentuhan Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri hari ini yang mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam PRU-14.

Yang hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Dalam program tersebut, kira-kira 1,000 penduduk dan penjawat awam membanjiri tempat letak kereta bersebelahan Menara Usahawan di sini bagi membeli pelbagai jenis barangan keperluan yang ditawarkan dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran. - UTUSAN ONLINE