Katanya, golongan petani dan penoreh khususnya kini berdepan masalah berikutan harga komoditi tersebut yang turun mendadak selain pelbagai inisiatif dan bantuan yang diterima sebelum ini sudah tidak ada.

“Terlalu banyak kekangan sekarang ini oleh kerajaan baharu sehingga menyebabkan golongan ini tidak terbela. Selain membantu daripada aspek pembangunan pertanian, apa-apa inisiatif dan bantuan harus diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin 
Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam wawancara yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini yang antaranya mahu melihat perubahan agar rakyat di negeri tidak lagi susah.

Tambahnya, antara langkah terbaik dalam membantu penduduk khususnya di kawasan-kawasan kampung ialah dengan mengusahakan sesuatu di tanah terbiar yang banyak di negeri ini.

Ujarnya, tanah terbiar banyak di negeri ini bagaimanapun ia tidak diusahakan dengan baik dan kerajaan negeri perlu memainkan peranan dengan mencari kaedah terbaik agar dapat membantu rakyat dengan cara tersebut.

Sementara itu, Nor Sabrina menyokong penuh titah Sultan Kedah khususnya apabila baginda menyentuh mengenai kesusahan rakyat yang perlu dibela selain perkara-perkara dalam bidang pertanian.

Dalam masa sama, beliau juga mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya memperkenalkan teknologi baharu dalam pertanian yang boleh membantu meningkatkan hasil.

“Kerajaan negeri juga disarankan memperkenalkan pertanian secara moden yang dilakukan mengikut kawasan berpontensi. - UTUSAN ONLINE