Mengikut kepercayaan masyarakat Cina,  elemen bumi yang menjadi unsur dominan pada tahun ini adalah menunjukkan pentingnya nilai keadilan dan kesetaraan.

Tahun Anjing Bumi 2018 akan membawa kejayaan bagi mereka yang memiliki kemurahan hati, integriti dan kejujuran yang tinggi.

Secara kebetulan pada tahun ini juga Malaysia bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Adakah kedatangan Tahun Anjing Bumi bakal membawa tuah kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal berkuasa di negara ini?.

Umum mengetahui, parti-parti politik yang membentuk pakatan dalam BN terdiri daripada parti mewakili pelbagai kaum seperti MIC mewakili masyarakat India manakala MCA dan Gerakan bagi Cina di Semenanjung.

Di Sarawak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara tradisi dianggap sebagai parti mewakili masyarakat Cina di Bumi Kenyalang, meskipun keahliannya terdiri daripada kaum lain termasuk bumiputera seperti Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot yang merupakan Timbalan Presidennya.

Seperti MCA dan Gerakan, SUPP juga pernah 'nazak' sehingga gagal mempertahankan kerusi pada pilihan raya negeri dan Parlimen sebelum ini.

Namun, parti yang hampir 'mati' ini seperti diibaratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Penutupan Perhimpunan Agung SUPP di Kuching baru-baru ini, dapat 'hidup' kembali di bawah pimpinan Presiden baharunya, Senator Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian.

Apa istimewa dan hebatnya tentang Kui Hian yang merupakan seorang pakar kardiologi sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa setelah merampas kerusi Dewan  Undangan Negeri (DUN) itu daripada
penyandangnya, Christina Chiew Wang See mewakili DAP pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak yang lalu.

Sim Kui Hian tidak membuang masa terluang semasa berada dalam ETS, pejabat dan kereta untuk menulis
Sim Kui Hian tidak membuang masa terluang semasa berada dalam ETS, pejabat dan kereta untuk menulis kad ucapan Tahun Baharu Cina untuk dikirim kepada rakan, saudara dan kenalan. - UTUSAN ONLINE

Antara pemimpin Cina di Sarawak, Hui Hian yang merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, berjaya menambat hati pengundi kerana sikapnya yang mesra, pandai jenaka dan ada ciri pemimpin berjiwa rakyat.

Jika bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan terkenal dengan tagline 'Oooha....you...you...', Kui Hian yang lebih dikenali sebagai Dr. Sim pula popular dengan tagline 'Tengok saja.....'.

Walaupun tidak berapa fasih berbahasa Melayu tetapi apabila berucap Dr. Sim tetap membuat hadirin tidak kering gusi dengan gaya bersahaja dan jenakanya.

Pendekatan mesra dan selalu turun padang bertemu rakyat yang diterap beliau dalam SUPP, berjaya memberi 'nyawa' kepada parti yang pernah 'nazak' sebelum ini, untuk hidup kembali sehingga berjaya membantu BN menang bergaya pada PRN-11 lalu.

Seperkara lagi menarik tentang Dr. Sim ialah beliau juga aktif dalam media sosial. Status akaun Facebook miliknya sentiasa dikemas kini dan paling mencuit hati, setiap kali musim perayaan beliau pasti tampil dengan video berupa iklan tentang sambutan hari istimewa tersebut.

Dr. Sim
SIM KUI HIAN 

Bukan sahaja memaparkan isi kandungan menarik tetapi video itu turut menyelitkan semangat perpaduan dan keunikan masyarakat berbilang kaum di Bumi Kenyalang seperti video sempena Tahun Baharu Cina 2018 yang dikongsi beliau kali ini.

Meskipun sudah ada media sosial,  Dr. Sim juga tidak lupa amalan mengirim kad ucapan seperti dilakukan oleh mendiang bapanya, iaitu bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Sim Kheng Hong.

Dalam kesibukan sebagai Senator, Menteri dan wakil rakyat, Dr. Sim tetap mencuri masa menulis kad ucapan Tahun Baharu Cina untuk dikirim kepada rakan, sanak-saudara dan kenalan.

Beliau mengambil kesempatan itu semasa mempunyai sedikit masa terluang ketika berada di pejabat dan kenderaan dalam perjalanan untuk urusan kerja.

Bukan ingin memuji tetapi pendekatan digunakan Dr. Sim untuk mengukuhkan kembali SUPP dan menambat hati pengundi Cina di Sarawak antara formula yang boleh diguna pakai oleh parti-parti mewakili masyarakat Cina lain pada PRU-14 akan datang. - UTUSAN ONLINE