Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen tujuh hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Antara kesalahan yang boleh disabitkan di bawah seksyen tersebut ialah dengan melakukan penyamaran, penyogokan, mengadakan jamuan dan menggunakan pengaruh tidak wajar sepanjang tempoh PRU-14 ini.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat dan bukti boleh menyalurkannya di mana-mana bilik gerakan SPRM di setiap negeri yang telah ditubuhkan berkuat kuasa hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah selepas majlis pelancaran Bilik Gerakan SPRM PRU-14 di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli, setiap maklumat yang diperoleh akan disiasat dengan teliti dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Sementara itu, Mohd. Hashim berkata, sekiranya berlaku aktiviti dan salah laku rasuah mereka boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara dan hukuman denda termasuk boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon tersebut.-UTUSAN ONLINE.