Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon itu tidak semestinya daripada pemimpin yang memiliki jawatan tertinggi di peringkat bahagian.

“Pendekatan pemilihan calon seumpama itu sudah terbukti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

“Calon mesti disukai walaupun bukan terdiri daripada kepimpinan bahagian. Jadi, jika ada perwakilan bahagian disukai dan boleh menang, maka, jangan terkejut jika kita tidak pegang jawatan pun, kita akan dipilih,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dan Timbalannya, Zaidi Japar.

Ahmad Zahid berkata, kajian sebuah universiti mendapati faktor kemenangan sesuatu kerusi itu, 85 peratus daripadanya disumbangkan faktor calon manakala 15 peratus lagi  disebabkan faktor lain.

Justwru, beliau menasihati mereka yang berada dalam kepimpinan parti sama ada di peringkat cawangan atau bahagian supaya berlapang dada apabila tidak dipilih sekiranya benar-benar sayangkan BN.

Sementara itu, beliau mengingatkan ahli UMNO diminta supaya tidak terpedaya dengan analisis kajian pihak tertentu yang menyentuh potensi kemenangan pada PRU akan datang bagi melekakan jentera parti dan pengundi.

Menurutnya, terdapat pihak dalam pembangkang yang melakukan kajian rambang menunjukkan seolah-olah UMNO dan BN masih boleh memerintah negara selepas PRU akan datang bagi menjatuhkan BN.

“Kita jangan terjebak dengan analisis kajian yang dilakukan sebab ada agenda tersembunyi supaya kita leka seolah-olah kita terus memerintah negara dan mereka berharap supaya tidak berusaha bersungguh-sungguh,” katanya. - UTUSAN ONLINE