Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya sehingga kini masih belum menetapkan tarikh khas bagi mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding.

“Kita belum putus tarikh tertentu, tetapi mungkin dalam tempoh 10 hari atau seminggu sebelum tarikh penamaan iaitu 28 April.

“Ia akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kita jangka calon mewakili BN bukan sahaja boleh menang, tetapi disukai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Hari Anugerah Kualiti Pendidikan Peringkat Putrajaya di sini hari ini.

Pada masa sama, Tengku Adnan merangkap Menteri Wilayah Persekutuan menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa senarai calon BN sering berubah-ubah.

Jelasnya, senarai calon perlu disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar disukai rakyat.

“Kita tidak pilih calon disukai parti mahupun disukai orang tertentu, tetapi mestillah apa dimahukan rakyat.

“Selain itu, saya meminta semua pihak untuk bersabar termasuk tidak membuat spekulasi berhubung senarai calon BN,” katanya. - UTUSAN ONLINE