Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek berkenaan sangat istimewa buat Orang Asli kerana dibangunkan selepas tragedi tanah runtuh yang mengorbankan tujuh nyawa pada 2011.

Menurutnya, beliau meluluskan peruntukan projek perumahan tersebut untuk dibangunkan semula dan beliau juga yang melancarkan projek tersebut kemudiannya.

"Ini merupakan satu projek yang sangat istimewa untuk masyarakat Orang Asli bukan sahaja kosnya besar RM44 juta, tapi setiap unit diberikan secara percuma malah tanah dikurniakan oleh kerajaan negeri secara percuma.

"Ini kali kedua saya datang selepas saya melancarkannya dan saya yang meluluskan peruntukannya. Kini nilai satu unit rumah di sini RM400,000," katanya selepas melawat perkampungan tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor.