Beliau juga mengingatkan seluruh kepemimpinan sehingga peringkat akar umbi parti supaya mengikis budaya cah keting kera­na ia ternyata tidak menguntung­kan parti.

“Kita kena buat perubahan pada negara untuk tempoh masa yang lama, tak boleh sekerat jalan saja tukar pemimpin. Sebab itu kita kena rapatkan barisan dan saya tak mahu dengar ada masalah dalaman parti, saya tak nak ada cah keting,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap dalam program Mesra Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dewan Komuniti Kuala Berang di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong dan kesemua calon BN dalam kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

Najib turut memuji sikap profesional bekas Timbalan Men­teri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang memberi sokongan padu kepada calon BN meskipun tidak lagi dicalonkan.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Jailani Johari atas khidmat beliau sebelum ini. Walaupun beliau tidak dicalonkan tapi beliau gentleman dan tidak cah keting kita,” ujarnya.