Walau bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, beliau yakin perkara itu bukan masalah yang boleh memberi ancaman besar kepada PH di Selangor.

"Ia boleh ditangani baik oleh kerajaan PH di Selangor... Dia (Ahmad Zahid) hendak beri restu, terpulang dan adakah ia akan mampu mendatangkan perubahan, itu hak dia sebagai pembangkang," katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Portal Wilayahku di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, Ahmad Zahid Hamidi merestui UMNO Selangor mengusulkan pemecatan Sue Lim kerana didakwa tidak menghormati hal ehwal Islam apabila mengakhiri sidang DUN yang dijadualkan berlangsung 12 hari dalam masa dua hari sahaja.

Sebelum ini, keputusan Sue Lim memendekkan sidang DUN didakwa seolah-olah cuba mengelak pindaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak.

Bagaimanapun, beliau menafikan dan menyifatkan ia khabar angin disebarkan media, selain menjelaskan penyertaan rendah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika perbahasan juga antara punca sidang DUN dipendekkan. - UTUSAN ONLINE