Bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan itu dapat dilihat apabila alasan pembubaran tersebut iaitu disebabkan bahagian terbabit tidak aktif atau ahlinya tidak dapat dikesan, tidak benar sama sekali.

Hamidah yang juga bekas Penyelaras Bersatu Perak berkata, realitinya bahagian yang terlibat tetap aktif dengan menubuhkan cawangan malahan ada ketua bahagian terdiri daripada mereka yang memegang jawatan dalam parti peringkat negeri.

Kata beliau, antaranya Ketua Bahagian Bukit Gantang, Datuk Shaharuddin Rashid sebagai Ketua Penerangan negeri dan Ketua Bahagian Gerik, Ibrahim Hanafiah sebagai Setiausaha Bersatu negeri.

“Mereka ialah antara orang terawal yang menyertai parti. Mereka menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit tapi sekarang hak mereka dinafikan untuk terus memimpin bahagian.

“Saya melihat perkara ini sebagai proses untuk melantik atau meletakkan kroni dalam bahagian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengenai sama ada notis pembubaran yang diterima oleh lapan ketua bahagian di negeri ini setakat ini sah atau sebaliknya, Hamidah berkata, pada asasnya mengikut peraturan, ketua bahagian yang terlibat sudah tiada hak lagi.

Menurutnya, ini kerana Bersatu masih bertaraf jawatankuasa penaja kerana parti itu belum lagi mengadakan mesyuarat agung walaupun sudah tiga tahun ditubuhkan.

Kata beliau, status itu memberikan hak untuk Presiden parti melantik jawatankuasa bahagian dan dengan status tersebut juga parti boleh menolak siapa yang mereka rasa bukan kem mereka.

“Sebab itu saya katakan tidak adil kenapa Bersatu masih berstatus ‘penaja’ selama tiga tahun dan tidak mengadakan pemilihan parti.

“Dalam hal ini, Pendaftar Pertubuhan (ROS) sepatutnya bertindak dengan mengeluarkan surat arahan atau surat amaran supaya Bersatu mengadakan mesyuarat agung secepat mungkin supaya proses demokrasi dapat dilaksanakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE