Najib malah mencadangkan anggota kerajaan PH mewujudkan kumpulan aplikasi sosial seperti WhatsApp atau Wechat sesama mereka supaya mudah berhubung untuk membuat keputusan demi menjayakan dasar-dasar negara.

Beliau berkata demikian apabila membaca tiga berita yang dilaporkan hari ini terutama kelewatan pembayaran kepada peneroka Felda dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian tidak mendapat 'restu' Kerajaan Persekutuan untuk melawat Pelabuhan Johor Bahru yang membuatkan Singapura tidak senang.

"Felda di bawah kementerian Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) nafi dakwaan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) semalam bahawa Felda lewat membayar peneroka selepas Guan Eng meluluskan peruntukan khas RM77 juta bagi Felda.

"Tolonglah, buatlah kumpulan WhatsApp sesama sendiri atau Wechat. Ada lagi peneroka-peneroka yang mengadu masih tidak di bayar," katanya menerusi status dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Satu lagi berita ialah mengenai Kementerian Luar sangkal kenyataan Osman yang mendakwa kononnya beliau telah mendapat ‘restu’ secara tidak rasmi daripada Menteri Luar (Datuk Saifuddin Abdullah) untuk melawat perairan di Pelabuhan Johor yang mencetuskan pergaduhan dengan Kerajaan Singapura.

"Ini pun perlukan kumpulan Wechat," kata Najib mengulas berita tersebut.

Berita ketiga yang dikongsikan Najib ialah mengenai Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis memfailkan saman terhadap Naib Ketua Cabang PKR Kota Melaka, Mohd. Ashiq Abd. Samad kerana menuduh beliau melantik kakaknya menjadi 'Ketua Pegawai Eksekutif' Zoo Melaka.

"Saya hanya boleh geleng kepala. Tadi, saya dengar dari penduduk bahawa kos baja dan racun serangga untuk petani-petani di Cameron Highlands sudah naik 50 peratus. Kalau kos input petani naik begitu banyak, tidak lama lagi harga sayur-sayuran untuk rakyat juga akan naik.

"Satu Malaysia sudah huru-hara dan cacamarba di bawah mereka. Wahai PH, demi negara, tolonglah hentikan semua ini. Negara bukan bahan jenaka," katanya. - UTUSAN ONLINE