Beliau berkata, pihaknya sedang menimbangkan sama ada akan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial yang sengaja memfitnahnya itu.

“Janganlah terlampau buat tuduhan fitnah terhadap saya. Saya rasa ada pihak yang digunakan untuk buat begitu.

"Saya tidak kisah untuk ditegur secara baik jika ada melakukan kesilapan, tetapi tidak boleh terima budaya fitnah," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Pentadbiran kerajaan negeri di sini hari ini.

Dalam ucapannya semasa Kursus Profesionalisme Keguruan Sekolah Agama Rakyat (SAR) negeri baru-baru ini, Aminuddin mendedahkan bahawa tidak sampai 50 peratus umat Islam di negeri ini menunaikan solat lima waktu.

Bagaimanapun, beberapa pemilik akaun Facebook menularkan kenyataan palsu kononnya Menteri Besar itu pergi ke masjid untuk memeriksa jemaah bersolat subuh pada pukul 7.30 pagi dan terpaksa solat seorang diri.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, ucapannya itu bertujuan menegur dan demi kebaikan umat Islam kerana menjaga solat itu adalah penting dalam agama.

“Bila saya tegur, ada pula cakap saya datang masjid solat subuh jam 7.30 pagi. Solat subuh 6.07 pagi, saya rasa orang yang tular itu pun tak tahu dia solat ke tidak, sebab 7.30 pagi waktu solat sudah habis.

Tangkap layar
TANGKAP layar sebuah laman Facebook yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE

“Boleh periksa pada mana-mana ucapan saya itu, tak pernah saya cakap begitu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis daerah di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan itu merupakan amaran kepada pihak terbabit supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan terutama dalam media sosial. - UTUSAN ONLINE