Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, BN sedia mempertahankan 25 kerusi yang dimenangi dan yakin dapat merampas kembali tiga kerusi yang disandang pembangkang pada PRU-13 yang lalu.

"Berdasarkan respon positif dan penerimaan baik daripada  rakyat yang saya terima sepanjang lapan hari berkempen ini adalah tidak mustahil kita dapat menguasai 28 kerusi yang ditandingi.

"Kita jangka dapat merampas balik tiga kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini, iaitu  di kerusi Parlimen Sibu, Miri dan Kuching," katanya dalam mengadakan Sesi Temubual Bersama Media di bangunan Dewan Undangan Negeri(DUN) Lama di sini sebentar tadi.

Mengenai calon muka baharu yang diketengahkan kali ini, Abang Johari berkata, beliau amat berpuas hati  dengan prestasi yang mereka tunjukkan.

"Gabungan muka baharu dan lama pada pilihan raya ini telah membentuk pasukan yang kuat.

"Kita mendoakan agar kejayaan dengan majoriti yang besar akan berpihak kepada BN pada pilihan raya ini," ujarnya.

Pada PRU-13, Sarawak yang menjadi kubu kuat BN berjaya menguasai 25 daripada 31 kerusi Parlimen. 

Kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dikuasai DAP, manakala Miri dimenangi PKR. - UTUSAN ONLINE