Namun, pada kali ini, BN gagal mempertahankan enam daripada 25 kerusi disandang apabila Parlimen Mas Gading dirampas oleh DAP, manakala Puncak Borneo, Saratok dan Selangau jatuh ke tangan PKR.

Dua lagi iaitu Parlimen Julau dan Lubok Antu masing-masing dirampas oleh calon Bebas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, BN Sarawak mencatatkan kemenangan bergaya apabila memenangi 25 kerusi, manakala pakatan pembangkang PKR mendapat enam kerusi iaitu lima DAP dan satu PKR.

Empat parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjaya menang 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Manakala, Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula hanya menang tiga daripada enam kerusi dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menang dua daripada empat kerusi Parlimen yang ditandingi.

Bagaimanapun, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hanya menang satu daripada tujuh kerusi yang ditandingi parti berkenaan.

PBB menang di 13 kerusi iaitu Parlimen Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjong Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.

SUPP pula hanya menang di Parlimen Serian dan tewas di enam kerusi Parlimen iaitu di Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Sarikei, Lanang dan Mas Gading.

PRS menang di Sri Aman, Kanowit dan Hulu Rajang, manakala PDP pula menang di Parlimen Bintulu dan Baram. - UTUSAN ONLINE