Dalam masa sama, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Azlan Man juga menyeru kepada seluruh penyokong BN untuk turut sama membantu kemenangan parti meskipun terdapat dalam kalangan calon pilihan mereka tidak terpilih nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, sesiapa sahaja yang terpilih nanti, calon terbabit mesti disokong sepenuhnya kerana mereka mewakili parti bukannya individu.

“Kita sedar berpuluh-puluh calon yang diketengahkan di negeri ini semua layak menjadi wakil rakyat tetapi kita perlu sedar kawasan di sini (Parlimen dan DUN) begitu terhad. Mereka yang dipilih nanti adalah yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Perdana Menteri.

“Saya sendiri pun tidak tahu sama ada terpilih atau sebaliknya tetapi kita perlu bersedia untuk memberikan sokongan penuh kepada calon yang mewakili BN. Begitu juga wakil rakyat lain, saya rasa tidak ada masalah (kecewa) jika mereka tidak terpilih nanti,” katanya ketika ditemui selepas memberi sumbangan kepada di Kampung Behor Masjid, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan pertemuan dengan semua penyandang kerusi Parlimen BN semalam, telah meminta semua mereka akur dengan dengan apa juga keputusan pucuk pimpinan berhubung kedudukan masing-masing.

Sebelum ini, telah timbul desas-desus kononnya lebih 50 peratus penyandang termasuk bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri bakal digugurkan apabila tularnya satu senarai nama calon BN Perlis dalam aplikasi WhatsApp.

Dalam senarai tersebut, Azlan dikatakan akan bertukar daripada DUN Pauh yang diwakili pada pilihan raya umum lalu ke kawasan Parlimen sekali gus menandakan Perlis bakal mendapat Menteri Besar baharu.

Penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikatakan bertukar ke DUN, lalu turut mencetuskan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu akan kembali menduduki kerusi panas nombor satu di negeri ini.

Sementara itu, Azlan berkata, beliau memahami akan ada kekecewaan dalam kalangan penyokong jika calon atau wakil rakyat pilihan mereka digugurkan.

“Tetapi semua itu harus diketepikan dan fokus kepada kemenangan lebih selesa BN di negeri ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE