Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bukan menjadi satu perkara terselindung apabila BN dan Pakatan Harapan (PH) memerlukan Pas bagi membentuk sebuah kerajaan campuran, namun BN sama sekali tidak meletakkan sebarang tekanan buat Pas memilih parti yang akan diadakan kerjasama.

Pada peringkat perundingan ini katanya, kerjasama baik dan sikap saling percaya-mempercayai antara kedua parti adalah perkara utama yang perlu dikekalkan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Perak.

Sehubungan itu katanya, BN seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini berpanjangan dan mengambil masa lama sehingga mengambil masa sehingga seminggu.

"Kita berharap perkara ini dapat dilaksanakan dengan segera demi kepentingan rakyat dan pastinya kita juga tidak mahu kehilangan kumpulan pelabur yang ingin membuat pelaburan di negeri ini, selain bulan Ramadan juga semakin hampir.

"Namun begitu, kita tetap mengambil kira hak Pas termasuk mengadakan perbincangan dan mesyuarat melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, malah BN juga merujuk perkara ini dengan pucuk pimpinan tertinggi apabila melibatkan dasar serta polisi parti," katanya, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE