Demikian ditegaskan Datuk Lokman Nor Adam selepas beliau dinamakan sebagai calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menegaskan, rakyat Selangor ketika ini memerlukan tambahan suara pembangkang bagi memastikan kerajaan negeri tidak menga­baikan tanggungjawab mereka seperti yang diamanahkan selepas memenangi pilihan raya umum lalu.

“Walaupun BN menang sekali pun dalam PRK DUN Sungai Kandis, ia tidak mengubah kedudukan PH dalam pentadbiran nege­ri. Itu sebabnya rakyat Selangor memerlukan tambahan suara pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang.

“Kita (BN) faham dan yakin bahawa rakyat khususnya di DUN Sungai Kandis ketika ini tidak sabar serta kecewa dengan dasar PH. Jadi adalah lebih baik kekecewaan itu disalurkan menerusi peti undi supaya kita semua boleh membuat perubahan,” katanya yang turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas cabaran dalam PRK itu.

Pengumuman pelantikan Lokman sebagai calon BN dalam PRK DUN Sungai Kandis itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta disaksikan Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Jentera BN PRK DUN Sungai Kandis berkata, Lokman dipilih berdasarkan keupayaannya sebagai aktivitis masyarakat selain lantang dalam mempersoalkan isu serta janji PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mohamad turut menolak tanggapan kononnya BN akan berhadapan kesukaran dalam melaksanakan kempen PRK berkenaan kerana akaun parti itu telah dibekukan.

“Tak sukar pun kerana kita berkempen guna mulut, bukan pakai duit. Kita tak perlukan sumber kewangan yang besar, sebaliknya kita gunakan semua jentera di setiap PDM (Pusat Da­erah Mengundi) untuk berkempen dari rumah ke rumah,” ujarnya.