Perkara itu ditegaskan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mana beliau menyifatkan The Red Giants sebelum ini merupakan pasukan yang amat disegani selain meraih banyak kejayaan dalam sukan berkenaan termasuk menjadi juara dalam Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

“Bagaimanapun, nasib The Red Giants hari ini dilihat terumbang-ambing dek kerana permainan politik pembangkang yang mentadbir Selangor. Pasukan ini bukan sahaja dinafikan hak bermain di Stadium Shah Alam tetapi turut dinafikan hak pembiayaan daripada kerajaan negeri.

“Yang ruginya ialah rakyat Selangor apabila pasukan yang menjadi kebanggan mereka tidak dapat beraksi di tanah air sendiri. Justeru, jika diberikan mandat oleh rakyat, kita (BN) akan kembalikan semula kegemilangan Selangor dalam sukan bola sepak di negara ini,” katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Padang Kelab Bola Sepak Tanjong Karang (TKFC), di sini malam semalam yang turut dihadiri Presiden TKFC, Datuk Sharizal Saari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abd. Razak.

Pada masa sama, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut mengkritik kewibawaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal membangunkan sukan bola sepak Selangor meskipun telah diamanahkan sebagai Menteri Besar serta Presiden Persatuan Bola Selak Selangor (FAS) sebelum ini.

“Sebaliknya Mohamed Azmin ini lebih suka tunjuk kuasa hingga FAS pun hendak dipolitikkannya. Mungkin kerana ramai barisan jawatan kuasa FAS itu terdiri daripada bekas pemimpin BN.

“Sedangkan dalam soal pembangunan sukan, beliau sepatutnya perlu ketepikan fahaman politik. Ramai anak muda Selangor yang menyokong The Red Giants terdiri daripada pelbagai fahaman politik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE