Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau akan membuat pengumuman calon itu dalam tempoh terdekat selepas menerima arahan rasmi berbuat demikian di peringkat negeri daripada pucuk pimpinan.

“Saya perlu dapat persetujuan dan kebenaran daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan senarai calon yang muktamad terlebih dahulu.

“Jika mendapat arahan, saya akan membuat pengumuman itu selepas menerima watikah pelantikan calon yang ditandatangani Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program ramah mesra bersama ahli Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kuasa kepada Pengerusi BN negeri untuk mengumumkan calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE