Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekalipun tindakan tersebut merupakan satu kebebasan namun parti beranggapan tindakan itu tidak bermoral dan tidak seharusnya dilakukan atas beberapa faktor.

“Pertama, amalan demokrasi Malaysia semakin matang dan subur sejak beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu menyaksikan kita beralih ke arah sistem dua parti yang dilihat dapat menawarkan satu proses semak dan imbang yang tegas, konstruktif dan berkesan kepada mana-mana parti yang memerintah.

“Mana-mana parti yang kalah dalam PRU sangat diharapkan menjadi faktor timbal balik atau melakukan semakan, bagi memastikan parti yang memenangi pilihan raya dapat berfungsi dengan baik dan mengotakan janji mereka.

“Kedua, ia adalah satu tindakan yang tidak menyantuni prinsip dan jangkaan demokrasi. Ketiga, tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada harapan, usaha keras dan kepercayaan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Semalam, tiga ADUN UMNO mengumumkan keluar parti dan menyertai PPBM, iaitu parti gabungan Pakatan Harapan.

Tindakan itu diketuai ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan di­sertai ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Rasman berkata, mereka membuat keputusan tersebut dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak demi kepentingan rakyat, khususnya di kawasan yang diwakili mereka. - UTUSAN ONLINE